Bomba Bantu Buka Pintu MPV Terkunci Secara Automatik Di Asajaya
ASAJAYA-- Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit membantu membuka pintu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terkunci secara automatik dari dalam di stesen minyak Petron di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.40 tengah hari dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya ke lokasi kejadian.
“Setiba di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan jenis Toyota Estima berwarna putih telah automatik terkunci dan kunci telah tertinggal di dalam kenderaan tersebut.
“Operasi dimulakan pada jam 1.44 tengah hari dan pintu kereta itu berjaya dibuka pada jam 2.16 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota operasi menggunakan peralatan khas, untuk membuka sebelah pintu pemandu tersebut.
“Setelah berjaya dibuka dan keadaan benar selamat anggota operasi bertolak balik ke balai,” ujarnya.