Anak Perempuan Ketua Polis Daerah Maut Tertembak Diri Sendiri
KOTA KINABALU-- Nasib malang menimpa anak perempuan berusia 14 tahun seorang Ketua Polis Daerah di sini, selepas maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Lahad Datu hari ini.
Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnyapada jam 12.42 tengah hari.
Memetik laporan Berita Harian, difahamkan ketika kejadian bapa mangsa sedang bertugas di pejabatnya.
Pistol miliknya dikatakan, tertinggal di rumah.
Mangsa dipercayai memegang senjata api itu sebelum secara tidak sengaja tertembak dirinya sendiri.
Ketika ini jenazah masih berada di Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kamis selepas urusan bedah siasat selesai pagi esok.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi," katanya.