AirAsia mengembalikan semula operasi 39 penerbangan dari luar negara dan dalam negeri di Sabah dan Sarawak
KUCHING -- Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mengembalikan semula operasi 39 penerbangan melibatkan penerbangan dalam negeri dan luar negara.
AirAsia dalam satu kenyataan menyiarkan 39 penerbangan yang beroperasi semula antaranya melibatkan laluan Bintulu, Kuching, Sibu, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Hong Kong, Taipei, Shenzhen, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Sandakan.
Jelasnya, meskipun letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sulawesi, Indonesia menyebabkan AirAsia membatalkan penerbangannya awal hari ini, tetapi beberapa laluan kembali beroperasi semula.
"Walaupun kebanyakan penerbangan terus terjejas, AirAsia telah mengembalikan semula 39 penerbangan dalam negeri mahupun dari luar negara," katanya.
Tambah AirAsia, semua jadual penerbangan yang beroperasi semula itu adalah dalam format masa 24 jam.
Dalam pada itu, AirAsia menyediakan pilihan berikut untuk pelanggan yang penerbangannya telah dibatalkan.
Katanya, pilihan itu seperti berikut: Pindah Penerbangan iaitu tukar satu kali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
"Pilihan kedua Akaun Kredit iaitu kekalkan nilai tempahan penerbangan dalam akaun ahli airasia Rewards pelanggan untuk perjalanan masa hadapan dengan AirAsia untuk ditebus dalam tempoh 730 hari (2 tahun) dari tarikh pengeluaran. Tarikh perjalanan tempahan baharu boleh jatuh pada mana-mana tarikh dalam jadual penerbangan yang diterbitkan di airasia.com," ujarnya.
Selain itu, katanya, tetamu yang ingin membuat perubahan tempahan dalam talian boleh berbuat demikian di airasia.com atau AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp).
"Daripada kategori yang tersedia, klik pada "Perubahan Tempahan" kemudian "Perubahan Penerbangan" dan akhirnya "Penerbangan saya telah ditukar oleh AirAsia." Dari sana, cuma ikut arahan untuk membuat perubahan pada tempahan anda," ujarnya.
Pada masa sama AirAsia terus memantau aktiviti gunung berapi Gunung Ruang dan akan memberikan lebih banyak maklumat mengenai perkembangan terkini.
"Ikuti AirAsia di media sosial @airasia di X dan @flyairasia di Instagram atau hubungi pasukan sokongan pelanggan kami di support.airasia.com untuk maklumat terkini," tambahnya.
https://www.facebook.com/share/p/vR3qupqqcchQxN1h/?mibextid=oFDknk