Abang Johari teruskan tradisi kunjung-mengunjung Hari Raya
KUCHING-- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan tradisi kunjung-mengunjung Aidilfitri di rumah
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di sini malam tadi.
Premier Sarawak ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel bersama isteri, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman.
Ketibaan Premier Sarawak pada jam 8.03 malam tadi disambut mesra oleh Mohamad Abu Bakar dan isteri Datin Amar Baduyah Bujang serta ahli keluarganya.
Dalam majlis tersebut, Mohamad Abu Bakar turut menyampaikan cenderamata serta merakamkan gambar kenangan bersama Premier Sarawak.
Terdahulu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut berkesempatan menyantuni tetamu jemputan yang mula datang seawal jam 7 malam sebelum ketibaan Premier Sarawak.
Tradisi ziarah Hari Raya diteruskan hari ini yang mana Abang Johari serta isteri dijadualkan menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Naim Paragon Street Mall.