5 beranak dihanyut arus deras di Seri Kembangan disahkan warga Indonesia
SERDANG-- Polis mengesahkan lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun berhampiran sebatang anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan petang Ahad adalah warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata dalam kejadian 5 petang semalam itu, mangsa yang ditemukan lemas ialah Mohd Diham Ahmad Suriadi, 10, (anak sulung) manakala yang masih hilang ialah ibunya yang dikenali sebagai Juliana, 38, dan adik perempuan bongsunya, Riska Amelia, empat tahun.
"Manakala mangsa yang selamat dikenali sebagai Ahmad Suriadi (bapa), 40, dan anaknya, Mohd Alif, sembilan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam Ahad.
Jelasnya, berdasarkan keterangan Ahmad Suriadi, ketika kejadian mereka sekeluarga pergi ke kawasan berkenaan untuk menjala ikan bagi mendapatkan pendapatan tambahan.
"Namun pada kira-kira 5 petang, datang air deras dari saliran monsun berhampiran menyebabkan mereka dihanyutkan hingga ke anak sungai yang berkedalaman 1.2 meter," jelasnya.
Tambahnya, Ahmad Suriadi dapat menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan manakala anak keduanya, Mohd Alif, sempat menyelamatkan diri dengan naik ke sebelah kanan longkang berhampiran sebelum ditemukan oleh orang awam pada 5.30 petang.
Sementara mayat Mohd Diham Anbalagan berkata ditemukan satu kilometer dari lokasi mereka terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Jelas beliau operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang sedang dilakukan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan awal polis mendapati Ahmad Suriadi sudah bermastautin di Malaysia hampir 10 tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk tukang paip untuk menyara hidup.
Tambahnya, mangsa memaklumkan sudah beberapa kali ke lokasi kejadian untuk memancing dan hasil tangkapan akan dijual bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan.
"Lokasi kejadian bukan tempat memancing namun ada inividu yang datang ke situ bagi menangkap ikan untuk dijual," ujarnya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan dua lagi mangsa lemas di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, dua ekor anjing pengesan tersebut adalah Lady baka jenis Labrador Retriever dan Cross baka jenis English Springer Spaniel.
"Sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang telah ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat telah dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan keluasan pencarian sehingga 6 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.