49 Lokasi Kerap Kemalangan Tumpuan Ops Selamat Mulai 8- 13 April Ini - Mancha
KUCHING--Sebanyak 49 lokasi kerap berlaku kemalangan jalan raya menjadi tumpuan sepanjang pelaksanaan Ops Selamat 22 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 yang diadakan mulai 8 hingga 13 April ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, operasi akan diadaksn di sepanjang jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di negeri ini.
“Tumpuan akan diberikan di kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas dan juga kawasan perumahan dan penempatan orang ramai.
“Manakala jumlah lokasi rondaan operasi jalan raya bagi negeri Sarawak adalah sebanyak 49 lokasi yang kerap berlaku kemalangan jalan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan daripada anggota pengua tkuasa yang bertugas di jalan raya sepanjang tempoh musim perayaan ini.
"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas.
“Diharapkan operasi ini dapat mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh Sarawak dan dapat mencegah kejadian pecah rumah sepanjang tempoh musim perayaan ini," ujarnya.
Katanya, sepanjang tempoh Ops Selamat 22 seramai lebih kurang 700 pegawai dan anggota polis Kontinjen Sarawak dari pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat.
“Ia bagi menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan juga bagi memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat di seluruh negeri Sarawak,” katanya.
Pihak PDRM Kontinjen Sarawak juga meminta orang ramai supaya memberi kerjasama dan memaklumkan kepada pihak polis apabila meninggalkan rumah kediaman pada musim perayaan ini.