33,864 penumpang Sabah, Sarawak terjejas akibat letusan gunung berapi di Ruang, Indonesia
KUALA LUMPUR-- Seramai 33,864 penumpang terjejas susulan pembatalan 214 penerbangan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak akibat letusan gunung berapi di Ruang, Indonesia pada Selasa lalu.
Perkara ini didedahkan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang memberitahu, pembatalan penerbangan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak berikutan kebimbangan abu tebal dikhuatiri menjejaskan ruang udara.
"Pembatalan kesemua penerbangan ini menjejaskan seramai 33,864 penumpang yang keluar masuk dari dua negeri terbabit untuk tempoh dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu, susulan letusan gunung di Ruang, Indonesia," katanya MOT dalam laporan yang disiarkan Berita Harian hari ini.
Dalam pada itu, MOT juga memberitahu, antara empat syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan mereka pada waktu itu adalah Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Firefly.
Bagaimanapun, katanya ada syarikat penerbangan cuba memulihkan operasi penerbangan kelmarin, namun terpaksa membatalkannya selepas mengambil kira keadaan cuaca dan keselamatan operasi.
Insiden letusan gunung berapi di Ruang, Indonesia dilaporkan menjejaskan ribuan penduduk sekitar berpindah apabila lahar mengalir ke kampung mereka, mula mengeluarkan abu beberapa jam kemudian dan disusuli kepulan asap 400 meter di atas puncak.
Sementara itu, agensi volkanologi telah memberi amaran bahawa aktiviti gunung berapi di Ruang masih tinggi dengan potensi bahaya termasuk batu terbang, awan panas dan aliran lahar.