3 Bot Nelayan Indonesia Ditahan Ceroboh Perairan Negara
KUCHING-- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak menahan tiga bot nelayan asing Indonesia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit di perairan negara sekitar jam 5.20 pagi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kesemua bot-bot itu dikesan KM Tun Fatimah ketika rondaan operasi di kedudukan lebih kurang 156 batu nautika Utara Tanjung Po.
"Setelah merapat dan melakukan pemeriksaan, terdapat lapan kru termasuk tekong berada di atas ketiga tiga bot tersebut dan kesemua mereka dalam lingkungan umur di antara 22 hingga 62 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan tiada nombor pendaftaran dan berasal dari Indonesia dan kesemua kru bot tidak memiliki pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kru, bot dan hasil tangkapan ditahan dan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS)l untuk disiasat dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran," ujarnya.
Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 untuk tindakan segera.