1,000 terima bantuan lesen memandu B2 di Parlimen Miri
MIRI— Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Parlimen Miri menawarkan bantuan lesen motosikal Kelas B2 kepada 1,000 individu dari golongan B40 berusia 16 tahun ke atas menerusi Program MyLesen B2.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, penerima bantuan hanya perlu membayar RM250 berbanding harga biasa RM750 iaitu penjimatan sebanyak RM500.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada 8 Mei ini.
“Sesiapa yang berminat untuk menyertai program MyLesenB2 boleh mendapatkan borang permohonan di Pusat Khidmat Parlimen P219 Miri (Pujut GK) atau menghubungi 012-8520946 untuk maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Chiew menambah, permohonan terbuka kepada warga negara Malaysia yang tinggal di kawasan Parlimen Miri, berumur 16 tahun ke atas dan dari golongan B40 dan mempunyai tanggungan.
Selain itu, sihat fizikal dan mental, belum memiliki lesen memandu dan bebas senarai hitam mahkamah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis.
“Kita semua sedia maklum bahawa masih terdapat banyak ruang pembaikan dalam usaha untuk memajukan kemudahan pengangkutan awam di sekitar Miri.
“Pengangkutan sendiri masih amat diperlukan untuk sampai ke destinasi tertentu di Miri. Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban bagi mereka yang memerlukan pengangkutan sendiri khususnya bagi golongan B40 dan anak muda.
“Selain itu meningkatkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, seperti mendapat kerjaya dalam bidang e-hailing atau mendapat pekerjaan di tempat yang lebih jauh daripada tempat tinggalnya,” katanya.
Pada masa yang sama meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai pematuhan undang-undang jalan raya dan mengurangkan kes kemalangan terutama membabitkan motosikal.