10 lembangan sungai dikenal pasti sesuai dibangun jana kuasa hidro-Julaihi

KUCHING— Sebanyak 10 lembangan sungai yang sesuai dibangunkan untuk menjana kuasa hidro, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau memberitahu, pihaknya akan menggunakan teknologi dan pendekatan baharu untuk membangunkan kuasa hidro yang menggunakan arus sungai.

Tegasnya, ini bagi menyahut hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengeluarkan tenaga sebanyak 10 Gigawatt menjelang 2030.


"Lembangan-lembangan sungai yang dikenal pasti ini akan dibangunkan menggunakan teknologi terkini untuk menjadikannya sebagai sumber kuasa hidro melata.

“Kita telah mengenal pasti 10 lembangan sungai untuk dibangunkan dan tiga daripadanya telah dikemukakan kepada kerajaan Sarawak untuk dibangunkan menjadi sumber kuasa hidro melata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di kediamannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Julaihi menjelaskan, kementeriannya akan membuat perbincangan dengan pegawai-pegawai daerah dan pemimpin di peringkat akar umbi tentang cara melibatkan penduduk setempat dalam projek ini.

Tambahnya, apa yang dilakukan pihaknya sekarang ialah menarik penglibatan masyarakat tempatan di mana kementerian dan Sarawak Energy Berhad (SEB) akan bekerjasama rapat dengan Residen dan Pejabat Daerah serta pemimpin akar umbi untuk membincangkan penglibatan mereka.

“Maknanya, penduduk tempatan dapat melibatkan diri mereka dalam pembangunan sumber kuasa hidro melata tetapi SEB akan sentiasa menjadi peneraju mereka.

“Ini disebabkan sistem pengedaran dan transmisi tenaga ini dimiliki dan dikendalikan oleh SEB,” jelasnya.
Next Post Previous Post