Tindakan MPS gantung lesen peniaga Pasar Sentral Sibu keterlaluan, Tiong
SIBU— Tindakan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menggantung lesen peniaga selama dua minggu hingga sebulan kerana terlibat dalam pergaduhan dan menimbulkan gangguan di Pasar Sentral Sibu sesuatu yang zalim, kata Dato' Seri Tiong King Sing (拿督斯里张庆信)
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, beliau menentang sekeras-kerasnya keputusan Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Kecil MPS dan menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan menyalahgunakan kuasa.
“Walaupun saya bersetuju agar peniaga tidak bergaduh dan menimbulkan kekacauan, saya percaya isu ini melibatkan unsur jenayah.
“Justeru, pihak polis harus menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan bukannya membenarkan MPS mengambil tindakan ke atas peniaga.
Namun apa yang dilakukan MPS telah menimbulkan kenyataan yang mengelirukan seterusnya mencetus panik dan kebimbangan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu menambah, beliau telah menerima aduan daripada orang ramai yang mengecam tindakan MPS sebagai zalim dan tidak prihatin.
Beliau tidak dapat menerima peniaga terbabit menutup perniagaan sehingga sebulan tanpa memberi sebarang notis amaran.
“Bagaimana peniaga yang bergantung kepada perniagaan setiap hari dapat mencari rezeki demi kelangsungan hidup? Satu-satunya punca pendapatan seisi keluarga terputus secara tiba-tiba kerana keputusan MPS,” katanya.
King Sing menambah, MPS sewajarnya bekerjasama dengan polis demi memastikan kesejahteraan semua pihak.
Mengulas lanjut beliau berkata akan melaporkan isu berkaitan kepada Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkifli Suhaili dan meminta unit penguat kuasa menghantar lebih ramai anggota polis di setiap pasar bagi memantau dan menjaga ketenteraman.
Beliau meminta pegawai penguat kuasa harus aktif ke peringkat akar umbi untuk memahami suara dan keperluan mereka.
“Saya percaya melalui rundingan mesra antara pelbagai pihak, persekitaran pasaran yang selamat dan harmoni dapat diwujudkan.
“Pada masa yang sama peniaga sama ada di pasar, gerai dan restoran harus bersaing secara sihat dan menjauhi persengketaan sesama sendiri.
“Tiada gunanya bergaduh semata-mata untuk mendapatkan pelanggan dan keuntungan lebih. Sebaliknya fahami konsep persaingan yang adil, sentiasa muhasabah diri dan aktif dalam meningkatkan prestasi sendiri,” katanya.