Tak jangka banjir, cuaca baik kebelakangan ini: Uggah
KUCHING-- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan di Sarawak hingga menjejaskan lebih 1,000 mangsa di Kuching, Lundu dan Bau adalah situasi yang tidak dijangka.
Hal ini katanya, cuaca di negeri ini kebelakangan ini adalah baik.
"Kita dikejutkan dengan kejadian bencana banjir hari ini walaupun dua tiga hari lalu cuaca baik.
"Malah, mangsa-mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kuching Lundu dan Bau," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di PPS di Dewan Taman Malihah petang tadi.
Tambahnya, PPD di Dewan Taman Malihah menempatkan mangsa banjir yang paling ramai iaitu 156 keluarga membabitkan 642 mangsa.
Sementara itu, PPS yang dibuka di Bintulu, kata Uggah adalah bagi menempatkan mangsa ribut.
"Semua agensi (di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak) di semua bahagian telah digerakkan untuk bersiap sedia dan bertindak jika berlakunya bencana," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya juga kini di tahap siap siaga untuk membuka lebih banyak PPS sebagai usaha menangani situasi yang tidak dapat dijangkakan selepas ini.
“Sememangnya sudah ada, ada digazetkan, sekarang di peringkat persediaan, sebab kita memberi arahan lebih awal yang mana ketika Monsun Timur Laut, harus sentiasa bersiap siaga menyediakan semua PPS dan pusat membekalkan makanan.
"Kita ada menyediakan bungkusan makanan ‘ready-to-eat’ sementara menunggu pembekalan makanan yang disediakan,” jelasnya.
Selain itu, beliau meminta mangsa banjir untuk mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Setakat jam 4 petang tadi, seramai 1,248 mangsa banjir terdiri daripada 353 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di tujuh PPS di Kuching, Bau dan Lundu.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, PPS Dewan Taman Malihah menyaksikan mangsa teramai setakat jam 4 petang, iaitu 642 mangsa terdiri daripada 156 KIR.
Mangsa dari Kampung Segong di Bau ditempatkan di PPS Dewan Kampung Segong masih kekal dengan seramai 76 mangsa terdiri daripaa 18 KIR.
Manakala mangsa banjir kampung Sinar Budi yang ditempatkan di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru, ia menempatkan 85 KIR dengan 207 mangsa.
Sementara itu, mangsa dari Desa Wira yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 217 mangsa terdiri daripada 64 KIR.
Turut terjejas akibat banjir, Kampung Senibung Bau dengan sebuah KIR terdiri daripada enam mangsa telah ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Senibung.
Di Kampung Pasir Tengah, Lundu, mangsa banjir ditempatkan di SK Pasir Tengah dengan seramai 87 mangsa dari 21 KIR.
Manakala di Kampung Rantau Panjang di Batu Kawa, mangsa yang ditempatkan di PPS SJKC Chung Hua Batu Kawa yang melibatkan lapan KIR terdiri daripada 13 mangsa.