Tabika reput tidak halang anak-anak rumah panjang belajar
ROBAN— Walaupun terpaksa belajar dalam pondok seperti kandang kambing, ia tidak melumpuhkan semangat sekumpulan kanak-kanak untuk menimba ilmu di Tabika Kemas Kawasan Jelupang.
Saban hari, pondok itu akan ‘meriah’ dengan suara kanak-kanak belajar mengenal huruf, bernyanyi selain melakukan aktiviti pembelajaran yang lain dengan bimbingan seorang guru dan pembantu.
Perkara itu diakui pembantu tabika, Stewart Belitang yang memuat naik gambar tabika itu di media sosial yang tular semalam.
“Inilah keadaan sebenar pondok yang masih digunakan oleh Tadika Kemas di Jelupang.
“Tujuan memviral dalam media sosial agar kerajaan dan wakil rakyat mengambil tindakan segera untuk membaik pulih pondok tersebut demi keselamatan murid-murid.
“Kami tiada pilihan terpaksa meminta sumbangan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang untuk baik pulih tadika tersebut.
“Rumah tabika ini sudah rapuh selepas bertahun-tahun digunakan. Justeru kami mohon peruntukan segera untuk membaiki pondok ini yang kelak akan dilakukan secara gotong-royong,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Terdahulu dalam hantaran di Facebook, Stewart berkata pondok tersebut menempatkan enam orang kanak-kanak antara empat hingga enam tahun.
“Lima hari full semangat anak-anak didik pelbagai ragam dan kerenahnya bersama guru dan pembantu.
“Walaupun enam orang, tetapi semangat tetap ada di antara ibu-bapa untuk menyokong tadika Kemas yang wujud hampir 10 tahun bermula 2013.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada dua buah rumah panjang iaitu Rumah Sait dan Rumah Anta kerana begitu bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada Kemas ini,”katanya yang merupakan bekas Tuai Rumah Jelupang Atas itu.
Mendedahkan perkara itu selanjutnya, Stewart berkata keadaan pondok tabika yang kian reput dan usang meresahkan ibu bapa dan pihak tadika yang khuatir dengan keselamatan murid di situ.
Sementara itu Stewart berkata keadaan tadika itu sudah dibincangkan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
“Beliau mengarahkan JKKK untuk membuat surat rasmi kepada kementerian yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Sebelum ini tadika tersebut belum pernah mendapat bantuan untuk baik pulih,” katanya yang tidak menolak kemungkinan keadaan ini berlaku kerana JKKK tidak memaklumkan kepada wakil rakyat kawasan itu.