Sungai Rejang dipenuhi sisa kayu hanyut gemparkan penduduk
SIBU -- Penduduk di Song hari ini gempar melihat fenomena sisa kayu hanyut atau 'logjam' di Sungai Rejang di hadapan jeti di sini.
Longgokan kayu hanyut yang besar itu disedari kira-kira jam 10 pagi tadi.
Seorang penduduk dikenali sebagai Luke Antas berkata, kejadian sama seperti pada Ogos 2021 di mana longgokan kayu hampir menutup laluan sungai.
Bagaimanapun, dia tidak dapat memastikan jenis kayu di dalam logjam itu, lapor The Star.
“Kami yang berada di pasar tebing sungai Song terkejut apabila timbunan kayu itu hanyut dari bahagian hulu.
“Ada yang percaya longgokan besar kayu itu datang dari Hulu Katibas,” katanya ketika dihubungi Ahad.
Beliau percaya fenomena ini mungkin berpunca daripada hujan lebat berterusan yang berlaku di kawasan hulu baru-baru ini.
Sementara itu, Carol Telesa berkata, penduduk bandar itu terkejut dengan kejadian itu.
"Orang ramai terkejut melihat banyak longgokan kayu hanyut dari Sungai Katibas. Keadaannya hampir sama seperti yang berlaku pada 2010," tambahnya.
Pengguna Facebook Treena Mazda percaya kejadian itu berpunca daripada hujan lebat di hulu Sungai Katibas.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna sungai supaya berhati-hati ketika melayari bot yang melalui timbunan kayu.
Sementara itu, lambakan sisa kayu balak hanyut di sepanjang Sungai Katibas sejak awal pagi tadi menyukarkan penduduk yang menggunakan laluan sungai terbabit.
Ekoran itu, kejadian bah besar itu turut menyebabkan sebuah rumah panjang di kawasan berkenaan antara yang dimasuki banjir lumpur.
Seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung masalah yang semakin meruncing ini.
"Saya berharap agar siasatan dijalankan segera oleh pihak berwajip bagi memastikan kegiatan penebangan hutan di kawasan hulu khususnya penebangan kayu balak secara haram dapat diatasi segera," ujar beliau.
Jelasnya, kejadian sisa kayu balak hanyut ini yang merupakan yang kedua kali berlaku di kawasan ini yang mana kejadian pertama berlaku di Ulu Melatai Balleh pada tahun 2010.
Sebagai anak jati di sini tegasnya, beliau mengharapkan agar tindakan segera diambil oleh pihak berwajip bagi memastikan perkara sama tida lagi berulang kerana ianya mendatangkan kesusahan buat semua orang khususnya penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan.
Gambar nitizens