Sumber Air Sarawak Mencukupi, Tiada Isu Persaingan Bekalan Air
KUCHING -- Sarawak mempunyai sumber air yang melimpah dan mencukupi, tanpa berhadapan dengan isu persaingan untuk mendapatkan bekalan air.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sumber air di negeri ini berada di bawah kawalan sepenuhnya dan tidak dikongsi dengan negeri atau negara jiran.
"Sarawak dikurniakan hujan tahunan yang tinggi dan limpahan air tawar dari sungainya.
"Oleh itu, Sarawak tidak berdepan masalah bersaing untuk mendapatkan sumber air.
"Namun, penggunaannya masih perlu diuruskan dengan baik bagi menghadapi cabaran perubahan iklim,"katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat, sempena sambutan Hari Air Sedunia 2024 bertemakan 'Air untuk Keamanan'.
Menjelas lanjut, Dato Sri Julaihi memberitahu, sambutan Hari Air Sedunia pada kali ini lebih menekankan kepentingan perpaduan masyarakat dalam melindungi sumber air, di samping memberi tumpuan kepada nilai air sebagai aset berharga yang perlu dijaga untuk kesejahteraan bersama.
Menurut beliau, ia selaras dengan inisiatif berterusan Sarawak dalam memastikan penggunaan air yang cekap bukan sahaja untuk bekalan air bersih, malah untuk tujuan seperti pengairan, kuasa hidroelektrik dan pengangkutan air yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
"Sambutan Hari Air Sedunia yang diadakan pada 22 Mac setiap tahun sejak 1993, merupakan perayaan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memfokuskan kepada kepentingan air tawar, termasuk menguruskan krisis air global.
"Ia juga menyokong matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Matlamat Pembangunan Mampan ke-6: Air Bersih dan Sanitasi untuk semua menjelang 2030,"tambahnya lagi.-Edisi UKAS