STU mahu KPM garis gangguan seksual dengan jelas - Kullin Djayang
KUCHING-- Kesatuan Guru Sarawak (STU) mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan beberapa jenis tindakan yang dikatakan sebagai gangguan seksual dengan jelas dan terperinci.
Presidennya, Kullin Djayang berkata,
ini berikutan beberapa tugas guru atau staf yang berkaitan dengan aktiviti bersama pelajar seperti ketika berlangsung aktiviti sukan dan latihan seni tarian yang kadang-kadang ia melibatkan sentuhan yang tidak dapat dielakkan.
"Kita sebagai kesatuan guru menegaskan kepada semua ibu bapa agar tidak melakukan tuduhan tanpa bukti terhadap guru kerana tuduhan yang tidak berasas akan mengaibkan guru terbabit.
"Oleh itu, kita juga berhak mengambil tindakan saman malu terhadap mana- mana pihak yang membuat tuduhan secara melulu, semua perkara yang berlaku harus disiasat dan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru dan kakitangan sekolah yang didapati terbabit dengan jenayah seksual dalam kalangan pelajar akan dipecat.
Ketika melaungkan amaran itu, beliau berkata, kementeriannya sentiasa komited dan berusaha memastikan sekolah menjadi tempat paling selamat kepada pelajar.
Menurutnya, terdapat peningkatan kes membabitkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak ketika ini dan ianya membimbangkan.
Kullin berkata, STU bersetuju dengan kenyataan menteri pendidikan tersebut, namun begitu setiap laporan kes gangguan seksual yang dilaporkan harus disiasat dengan teliti terlebih dahulu, pihak terbabit perlu hadir berjumpa pihak sekolah untuk memastikan keadaan sebenar sebelum membuat sebarang tuduhan.
"Kita tidak mahu ibu bapa hanya mendengar aduan daripada anak mereka sahaja tanpa mendengar penjelasan daripada staf terbabit. Biarlah kita dengar penjelasan kedua dua pihak untuk menentukan kesahihan tuduhan tersebut.
"Jika benar staf tersebut terbukti melakukannya dengan sengaja, maka kita tidak akan berkompromi dengan mereka," tegasnya.