Simpang Pakan ragut dua nyawa
SARIKEI -- Seorang lagi mangsa yang terlibat dalam nahas dua buah kenderaan di Simpang Pakan malam tadi disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sarikei.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, mangsa kedua yang disahkan meninggal itu dikenali sebagai Lantau Meling berusia 96 tahun.
Dengan ini katanya menjadikan dua maut dalam kemalangan yang berlaku melibatkan sebuah kereta SUV Toyota Fortuner dan lori setakat ini.
Terdahulu katanya, seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu kereta, Yap Ah Tek berusia 69 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sarikei yang turut berada di lokasi kejadian.
"Dalam pada itu, pemandu lori yang terbabit dalam nahas gagal untuk dikesan sejurus berlakunya kemalangan," ujarnya.
Dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 11.05 malam itu, ianya melibatkan 2 buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan lori panjang yang mana kereta dinaiki semua mangsa dikatakan sedang menghala ke Pakan manakala lori panjang menghala ke Sarikei.