Sarawak di tangga teratas mangsa penipuan pekerjaan
KUCHING—Sindiket penipuan pekerjaan dalam kalangan rakyat Sarawak amat membimbangkan kerana berada di tangga teratas dalam carta statistik di Malaysia.
Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Duta Fenny Nuli berkata, setakat ini sekitar 1,000 orang rakyat Malaysia yang perlu diselamatkan dan masih terkandas di Myanmar.
“Kerja luar pesisir atau ‘offshore’ merupakan salah satu faktor yang menarik perhatian orang Sarawak untuk bekerja luar negeri, inginkan gaji besar tapi bila dikira kos melibatkan tambang balik semula ke Malaysia seperti kadar gaji yang diiklankan dalam telegram sekitar USD1,000 tidak mencukupi.
“Bekerja di luar negeri ini tidaklah semanis seperti yang orang jangka,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri, pada Rabu.
Beliau berkata, perkara sama turut disuarakan dalam perjumpaan saya semalam bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah sebagai usaha mengurangkan jenayah ini dari terus berlaku dan bersedia bekerjasama dengan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut dibincangkan ialah sindiket penipuan pekerjaan atau ‘job scam’ yang melibatkan mangsa dari Sarawak.
“Saya juga berkongsi pengalaman apabila pernah terlibat sama membantu menyelamatkan 16 orang mangsa dari Sarawak yang telah kembali ke sini iaitu kumpulan terakhir tiba pada 6 November 2023 daripada 43 orang rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa penipuan pekerjaan tahun lepas di Lima, Peru semasa saya menjadi duta besar di sana.
“Sebagai contoh, rakyat Peru sendiri banyak yang tidak bekerja dan bekerja di negara lain, kenapa pula kita yang dari Sarawak perlu terima tawaran tersebut, logik sebegini perlu di tanam dalam minda anak muda kerana mangsa-mangsa ini dalam lingkungan umur 19 hingga 20-an.
“Kita tak mahu isu ini melarat sehingga ada dalam kalangan rakyat yang akan dijadikan keldai dadah suatu masa kelak,” tegas beliau.
Tun Pehin Sri juga mengambil berat dan maklum tentang perkara sama kerana beliau pernah menyertai delegasi Malaysia menyelamatkan mangsa sindiket sama di Kemboja yang juga melibatkan rakyat Sarawak.
Fenny berkata, Sarawak mempunyai banyak potensi pekerjaan dan kita perlu memanfaatkan peluang tersebut dan memilih pekerjaan sesuai dengan kelayakan akademik serta mengingatkan agar rakyat tidak terpedaya dengan tawaran kerja sebaliknya menyiasat latar belakang sesebuah negara yang menyediakan tawaran tersebut.
Sementara itu kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk memperkenalkan fungsi serta peranan Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri yang telah beroperasi mulai 2010 di Sarawak dan semakin dikenali di persada antarabangsa dengan perkembangan nusantara, Wisma Putra telah membuat keputusan untuk memperkasakan pejabat di negeri ini.
“Saya juga turut memaklumkan kepada Tun Pehin Sri bahawa pejabat saya akan bekerjasama dengan beberapa agensi di Sarawak untuk mengadakan program kesedaran awam mengenai sindiket ini dan pejabat kami di Tingkat 14, Bangunan Sultan Iskandar sentiasa terbuka untuk menerima sebarang bantuan dan pertanyaan sekiranya ada tawaran-tawaran bekerja di luar negeri.
Kementerian Luar Negeri bercadang untuk mengadakan ceramah kesedaran bersama pelajar universiti seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada bulan Mei dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkaitan isu diplomasi antarabangsa serta berkongsi pengalaman peribadi dalam misi menyelamat mangsa sindiket penipuan pekerjaan rakyat Malaysia khususnya dan Sarawak amnya.
Dalam interaksi ceramah yang akan diadakan nanti, Fenny Nuli berhasrat untuk memperkenalkan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri, Diplomasi dan Rundingan Antarabangsa serta banyak lagi.
Sumber Teks dan Gambar Jabatan Penerangan Sarawak