Sarawak cadang beli pesawat ARJ21-700 untuk MASwings
KUCHING—Kerajaan bercadang membeli ARJ21-700 yang dibangunkan Pesawat Komersial China (Comac) untuk kegunaan MASwings apabila beroperasi kelak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, ini setelah mengambil kira keupayaan pesawat itu yang boleh terbang dengan jarak maksimum 2,000 batu nautika atau dua setengah jam.
“Pelanggan luar negara pertama ialah Trans Nusa Airlines pada Disember 2022 yang menyediakan laluan meliputi Jakarta Kl, Jakarta Johor Bahru dan Jakarta Bali dan Yogyakarta.
“Pesawat ARJ21-700 dikilangkan di Shanghai sejak 2015 digunakan oleh syarikat penerbangan di China yang terbang ke 140 bandar dan 452 destinasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu dalam sidang media, Lee berkata Pesawat ARJ21-700 ini dapat memuatkan 78 hingga 97 orang penumpang dalam satu penerbangan.
“Ia satu kelebihan kepada Sarawak untuk memilikinya memandangkan pesawat yang bersaiz kecil dapat membuat lebih banyak penerbangan dalam satu hari berbanding pesawat lain.
“Walaupun kapasiti pesawat ini kecil, tetapi ianya merupakan satu perkara yang bagus kerana kita boleh membuat lebih banyak penerbangan jika dibandingkan dengan pesawat sekarang yang hanya mampu membuat dua penerbangan dalam sehari.
“Ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah di samping menjadikan perjalanan mereka lebih selesa kerana ruang yang lebih besar dalam pesawat ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyaksikan ketibaan pesawat ARJ21-700 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Rabu, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Mengulas lanjut, kajian serta laporan mengenai pesawat tersebut akan diteliti dan dikaji oleh pakar memandangkan ia sesuai dengan matlamat Sarawak untuk mengadakan penerbangan ke seluruh rantau ini.
“Kita akan mengkaji lagi perkara ini sebelum kita mengambil alih MASwings secara rasminya nanti.
“Sarawak merancang untuk mengadakan laluan penerbangan ke seluruh rantau ini dan pesawat daripada COMAC ini amat sesuai dan ini yang akan diteliti oleh pihak kita terlebih dahulu sebelum kita membuat keputusan,” jelas beliau.