Sarawak Ambil Alih Pelabuhan Bintulu Sepenuhnya 2025
KUCHING--Kerajaan Sarawak akan mula mengambil alih sepenuhnya Pelabuhan Bintulu mulai tahun 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata,Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal diadakan bersama Kerajaan Persekutuan bagi perbincangan ke arah itu pada masa ini.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan juga akan membincangkan hal berkaitan pekerja, aset, peruntukan dan lain-lain.
“Menerusi Jawatankuasa Teknikal ini, semua perkara akan diperhalusi termasuk Akta Pelabuhan Bintulu 1981 yang sedia ada,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada asnaf dalam majlis penutupan Program Kembara Sarawak Bertadarus Lembaga Pelabuhan Bintulu di Masjid Al-Ghazali malam tadi.
Memetik laporan Suara Sarawak, beliau turut mendedahkan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu tidak memberi sebarang implikasi kepada pelabuhan lain yang berada di bawah Persekutuan.
“Insya-Allah, dalam tahun ini kita cuba untuk bawa ke Parlimen dan kalau sempat pada bulan Jun ini,” katanya.
Sementara itu, Tengah menerusi teks dibaca oleh Hasbi memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengambil alih, sekali gus menguruskan Pelabuhan Bintulu mengikut acuan tersendiri menjelang 2025.
Menurutnya, tandatangan yang diturunkan untuk perjanjian persefahaman (MOU) berkaitan pengambilalihan pelabuhan ini pada 22 Mac lalu menunjukkan komitmen penuh kerajaan negeri.
“Tindakan ini menunjukkan bahawa Sarawak komited dalam membangunkan Bintulu sebagai sebuah hub ekonomi tenaga baharu, seterusnya meningkatkan aktiviti perkapalan di rantau ini,” katanya.
Seperti yang dimaklumkan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini, Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menggubal rang undang-undang baharu bagi mengawal selia Pelabuhan Bintulu.
Akta Pelabuhan Bintulu 1981 sedia ada akan dimansuhkan dan perkara ini dijangka dibawa ke Parlimen pada tahun ini oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).