Empat mangsa bot karam Batang Baleh belum ditemui
KAPIT—Usaha mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa bot karam di Batang Baleh yang memasuki hari ketiga hari ini diperluaskan dari perairan Sebatu hingga Ngemah, kata Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.
Menurutnya, operasi pencarian yang bermula seawal jam 8.15 pagi tadi telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan SAR 1 yang terdiri daripada anggota bomba, PDRM dan APM yang menjalankan usaha pencarian di sekitar lokasi kejadian sehingga ke Pasar Kapit dalam radius lima kilometer.
"Kumpulan SAR 2 pula terdiri terdiri daripada pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang melakukan usaha pencarian di kawasan hulu sungai bersama 3 buah bot dengan menggunakan menggunakan teknik pencarian secara permukaan (water Surface searching) di sepanjang sungai dari Pasar Kapit hingga Song," jelasnya.
Kumpulan SAR dari BBP Song dalam pada itu ujarnya melakukan kerja-kerja pencarian juga secara permukaan air menggunakan sebuah bot penyelamat bermula dari kawasan Sebatu sehingga ke Ngemah.
Operasi pencarian setakat ini katanya sedang dijalankan yang mana setakat ini masih gagal menemui kesemua mangsa.
Borneo Network sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan dua anggotanya terlibat dalam insiden bot karam di Batang Baleh, berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.
Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu berkata, dua anggota tersebut ialah Sarjan Jonathan Lambert dan Konstabel Iskandar Ibrahim.
Beliau berkata, dalam kejadian sekitar 5.45 itu, dua anggota polis bersama tiga lagi penumpang dalam perjalanan ke Nanga Tulie untuk menghantar bahan letupan.
“Semasa sampai di tempat kejadian, bot tersebut membelok ke kiri sedikit menuju ke hulu sungai dan telah menempuh air yang berpusar menyebabkan bot dinaiki terbalik dan karam ke dalam sungai.
“Seorang mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam manakala empat lagi belum ditemui,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Dua lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Amerson John Nain dan Jack Balan.
Gambar PGO Sarawak