Salur Sungai Sarawak ke Sungai Salak elak banjir
Fadillah bersalaman dengan sebahagian murid yang menerima Baucar Program ‘Back to School’ Parlimen Petra Jaya di sini, hari ini. |
KUCHING— Kerajaan akan menyalurkan air dari Sungai Sarawak ke Sungai Salak sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah banjir di sini.
Timbalan Perdana Menteri, kata Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa pertama projek telah dijalankan yang melibatkan pembinaan baraj di kawasan pertembungan sungai dan laut manakala fasa seterusnya akan dijalankan pada tahun hadapan.
“Ketika ini tender dalam proses penilaian dan reka bentuknya sedang dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS).
“Sekiranya reka bentuknya telah siap dan dapat ditender pada tahun ini, maka projek ini dapat kita laksanakan pada tahun hadapan,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar Program ‘Back to School’ Parlimen Petra Jaya pada Sabtu.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menambah, ketika ini limpahan air sering berlaku terutamanya apabila musim air pasang bertembung dengan hujan lebat berpanjangan menyebabkan baraj tidak dapat dibuka untuk mengalirkan air ke laut.
“Ini menyebabkan banjir seperti yang berlaku di beberapa kawasan bandar Kuching baru-baru ini.
“Apa yang belum dapat kita selesaikan ialah apabila berlaku hujan lebat yang berpanjangan bertembung dengan musim air pasang besar.
“Jadi apa yang kita lakukan pada fasa kedua ialah kita akan mengalihkan aliran air daripada Sungai Sarawak keluar ke Sungai Salak.
“Maknanya aliran ini akan dipecahkan kepada dua batang sungai dan bukannya tertumpu ke Sungai Sarawak sahaja,” jelas beliau.
Pada majlis itu Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya telah menyampaikan baucar dan beg sekolah kepada lebih 1,000 orang pelajar sekolah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, DUN Samariang dan DUN Satok.