Rupa-rupanya lima tahun tiada lesen
SIBU— Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menafikan bertindak keterlaluan berhubung tindakan penguat kuasa yang merampas barangan jualan peniaga di Pusat Sentral Sibu yang tular hari ini.
Pengerusinya, Clarence Ting berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan pihaknya mendapati empat peniaga yang dirampas barangan jualan tidak mempunyai lesen.
“Salah seorang daripada peniaga tersebut sudah berniaga di situ lima tahun dan masih enggan memohon lesen.
“Namun dia memviralkan perkara ini di media sosial kononnya tindakan merampas barangan jualan sebagai tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan kepada Borneo Network hari ini.
Terdahulu, tular video penguat kuasa MPS merampas barangan peniaga selepas mereka enggan membayar sewa tapak berjumlah RM1 ketika diminta berbuat demikian.
Clarence menambah, hanya peniaga tamu Iban dan Bumi yang perlu membayar sewa tapak harian RM1 namun mereka tidak perlu berniaga setiap hari.
“Ini bukan soal RM1, tetapi MPS perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga haram,’ jelasnya sambil menambah penguatkuasaan itu akan diteruskan esok hari.
Dalam penguatkuasaan yang sama petang tadi, enam lagi peniaga turut diambil tindakan.