16 keluarga hilang tempat berteduh, rumah panjang Kampung Long Kerangan Marudi musnah terbakar malam tadi
MIRI -- 16 keluarga dari rumah panjang Kampung Long Kerangan di Marudi hilang tempat berteduh selepas rumah panjang yang didiami musnah terbakar malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 10.52 malam.
"Bilik kawalan bomba menerima makluman berhubung kebakaran daripada WhatsApp yang mengatakan tumah panjang berkenaan terbakar pada malam tadi," ujarnya.
Masa kejadian bagaimanapun katanya masih belum dapat dipastikan kerana kesukaran untuk menghubungi pelapor akibat tiada liputan di lokasi kejadian.
Setakat ini katanya, kebakaran yang berlaku telah memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang jenia tidak kekal itu.
Mujurlah katanya kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.
Adalah difahamkan bahawa lokasi rumah panjang terletak 98 kilometer dari balai bomba melalui jalan balak dari Pekan Long Lama.