RM951,200 beli, ubah suai kontena jadi klinik kesihatan Long Lama
KUALA LUMPUR-- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan berjumlah RM951,200 bagi membeli dan mengubah suai kontena kiub tinggi untuk dijadikan sebagai Klinik Interim Long Lama di Baram.
KKM dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tapak yang bersesuaian untuk membina klinik tersebut.
"Ketika ini kementerian dalam proses pemilikan tapak.
"Projek ini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan dan akan dimulakan sebaik sahaja proses pertapakan selesai kelak," katanya di Parlimen hari ini.
Manakala Klinik Kesihatan Long San pula, KKM akan membina Klinik Kesihatan (Jenis 5) dengan kuarters.
"Ketika ini kementerian sedang dalam fasa memuktamadkan skop dan kos terkini bersama dengan pihak Kementerian Ekonomi bagi memastikan projek ini dibina berdasarkan keperluan sebenar penduduk setempat," katanya.
Klinik Kesihatan Long Lama ditutup sejak 2020 susulan kejadian tanah runtuh. Gambar kredit Vuhal Virjal |
Untuk rekod, Klinik Kesihatan Long Lama ditutup sejak 2020 susulan kejadian tanah runtuh menyebabkan ia tidak dapat digunakan.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, klinik interim Long Lama itu bagi menggantikan pengoperasian perkhidmatan kesihatan yang telah dipindahkan ke dewan masyarakat.
KKM katanya, telah mengenal pasti beberapa kawasan berdekatan dengan Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) Long Lama, termasuk tapak tanah milik kerajaan persekutuan untuk tujuan itu.
Menurut Lukanisman, tapak Klinik Long Lama yang asal tidak dapat diperbaiki kerana menelan kos yang amat tinggi.