Ribut petir, hujan lebat diramalkan melanda utara Sarawak hingga Ahad
KUALA LUMPUR--Hujan lebat dan ribut petir akan melanda kebanyakan kawasan di utara Sarawak mulai hari ini hingga Ahad.
Ia berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang disiarkan di Facebook hari ini.
"Hujan lebat dan ribut petir itu itu diramal berlaku pada lewat petang dan awal malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan analisis model-model cuaca, MET Malaysia menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.
"Walau bagaimanapun, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku terutamanya di barat Semenanjung dan utara Sarawak pada lewat petang dan awal malam," tambah kenyataan itu.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.