Polis Indonesia rampas 15 kilogram syabu dari Malaysia
PONTIANAK— Polis Kalimantan Barat (KALBAR), Indonesia menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia selepas penahanan seorang lelaki tempatan di sini.
Ketua Polis Daerah Kalimantan Barat (KALBAR), Brigjen Pol Roma Hutajulu dalam satu kenyataan berkata, suspek dikenali sebagai On ditahan oleh sepasukan polis dari Direktorat Narkoba Polda Kalbar pada 22 Mac, sekitar jam 4.15 petang di Jalan Khatulistiwa, Kelurahan Siantan Hilir di Pontianak Utara.
“Ketika ditahan, suspek sempat melarikan diri seketika namun berjaya diberkas selepas pihak polis melepaskan tembakan amaran.
“Hasil pemeriksaan dalam beg galas, polis menemukan sejumlah 15 kilogram (kg) syabu yang diseludup dari Malaysia,” katanya menurut PontianakPost, semalam.
Roma menambah, penahanan On berasal dari Sanggau Ledo, daerah Bengkayang itu adalah hasil maklumat orang awam bahawa kawasan tersebut kerap menjadi lokasi transaksi dadah.
Siasatan awal, On mengakui menerima tawaran daripada seorang lelaki dikenali RD untuk membawa dadah berasal dari Malaysia dengan upah RM3,000 sekilogram atau Rp135 juta untuk sebanyak 15kg syabu.
Roma menambah, mendapati On bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai AD yang masih bebas membawa bekalan dadah itu menggunakan teksi dan trak untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, suspek kini ditahan di Direktorat Narkoba Polda Kalbar bersama syabu untuk siasatan lanjut.