Pertemuan dengan Ketua Pembangkang: Tiada draf perjanjian diberi atau diterima-Fadillah
KUCHING-- Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima semasa pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah
Zainudin, tegas Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Katanya, beliau selaku Ketua Whip Kerajaan Perpaduan juga tidak ada menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa.
"Tidak timbul wujudnya draf perjanjian baharu Kerajaan Madani seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.
"Ini kerana saya selaku Ketua Whip Kerajaan Perpaduan tidak ada menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa, dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Draf ini turut disebut Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu?
"Jika belum,
mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Fadillah berkata, dalam pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu, beliau hanya mendengar permohonan PN dan mendengar apa yang mereka tawarkan.
"Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima.
"Justeru, tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara Kerajaan Madani dan Pembangkang seperti dakwa.
"Saya tegaskan sekali lagi dalam pertemuan saya bersama wakil-wakil Pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak Pembangkang," katanya.
Tambahnya, pertemuan itu sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran daripada pihak pembangkang.
Katanya lagi, malah tiada perbincangan mengenai ‘perjanjian’ dibuat.
Pada 22 Mac lepas, Hamzah berkata pihaknya sudah menerima draf dokumen yang memperinci perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.