Pembuat roti maut motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan Toyota Vellfire
KUCHING-- Seorang pembuat roti maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire di lampu isyarat Jalan Batu Kawa/ Jalan Ketitir di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian sekitar jam 12.50 tengah malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Anthony Hiu Kuet Boo, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun bersama-sama dua orang penumpang wanita berusia 22 dan 26 tahun dengan sebuah motosikal Honda
yang ditunggang mangsa.
"Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa yang bergerak dari arah MJC Batu Kawa dipercayai tiba-tiba membelok ke sebelah kanan hendak menuju ke arah Jalan Ketitir / Jalan Arang semasa lampu isyarat berwarna merah sehingga menyebabkannya dirempuh di bahagian sisi kiri oleh Toyota Vellfire yang sedang bergerak lurus dari arah Kuching hendak menghala ke arah MJC Batu Kawa semasa lampu isyarat berwarna hijau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, impak perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang tercampak ke atas jalan raya manakala motosikal terseret ke bahu sebelah kiri jalan raya.
Jelasnya, akibat kemalangan itu penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian oleh Paramedik Hospital Umum Sarawak.
Katanya, sementara pemandu Toyota Vellfire mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan kiri manakala dua penumpang pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Cuaca masa kejadian adalah baik, kadar penglihatan gelap berlampu manakala kawasan jalan raya adalah petak kuning lampu isyarat jalan.
"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.
Menurut Abang Zainal lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat.
"Kenderaan diarah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk pemeriksaan Kimia dan Puspakom.
"Selain itu, sampel darah pemandu Toyota Vellfire juga diambil dan polis mengesan saksi bebas atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berdekatan yang dapat membantu siasatan," ujarnya.