Patuhi Ikrar Sebulan, ingatan JKR kepada kontraktor
KUCHING-- Kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek prasarana dan infrastruktur di bawah Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR) diminta mematuhi Ikrar Sebulan yang ditetapkan.
Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR, Ir. Ts Dr Cassidy Morris berkata, adalah penting mereka memulakan terus kerja di tapak bermula dari tarikh pemilikan tapak supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.
"Jurutera-jurutera Bahagian juga diingatkan untuk memantau rapat prestasi kontraktor yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Majlis Menandatangani Ikrar Sebulan pihak kontraktor pelaksana projek.
Antara projek prasarana dan infrastruktur yang dilaksanakan ialah pembangunan semula sekolah daif di Sarawak, pembaikan kompleks Maritim, naik taraf Jalan Kuching / Bau: Jalan Simpang Bau / Lundu Ke Pekan Bau (Fasa 1), naik taraf Jalan Padawan, jalan Kampung Sabun ke Kampung Nanas,Jalan Sebangan,Jalan Lingkaran Kedua, Jalan Sri Aman.
Selain itu ialah bilik darjah, asrama, rumah guru dan lain-lain kemudahan Sekolah Kebangsaan Mandor Aris, Stesen Pertanian Sungai Asap, naik taraf jalan ke Skim Rancangan Supuk Niah,projek membina Jalan RH Satu, Kuala Mendalam, Limbang, Batu Danau dan banyak lagi.