Paip baharu atasi tekanan air rendah di Taman Malihah, Fadillah
KUCHING--Sistem perpaipan di Taman Malihah akan digantikan sepenuhnya untuk menangani masalah tekanan air rendah yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, penduduk di kawasan taman tersebut sering terkesan apabila berlakunya masalah paip pecah hingga menyebabkan tekanan air di kawasan tersebut rendah.
“Cuma yang kita hadapi pada masa ini adalah masalah tekanan air yang rendah di Taman Malihah disebabkan kawasan tersebut masih menggunakan paip yang lama.
“Apabila kawasan lain paipnya sudah digantikan dan tekanan airnya tinggi, paip lama di Taman Malihah ini tidak dapat menampung tekanan yang begitu tinggi dan pecah hingga menyebabkan tekanan airnya rendah.
“Jadi, perkara yang melibatkan sistem perpaipan ini perlu digantikan baharu secara keseluruhan untuk kita menangani masalah ini,” katanya, dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Dato Sri Fadillah mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar Petra Jaya yang melibatkan enam buah taman perumahan. Gambar ihsan UKAS |
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pengagihan Bubur Lambuk yang berlangsung di sini pada Ahad.
Dalam majlis tersebut, Dato Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya telah mengagihkan sebanyak 500 pek bubur lambuk bersama Surau Al Hidayah yang melibatkan enam taman perumahan iaitu Taman Sejoli, Taman Harmoni, Taman Heritage, Taman Long Seng, Taman Peaceful dan Taman Muhibbah.