Netizen gesa doktor selingkuh dengan isteri orang di Kapit dibuang kerja
KUCHING-- Kisah rumahtangga yang hancur akibat orang ketiga kian hangat diperkatakan apatah lagi ditambah isu panas pasangan selebriti yang sudah berumahtangga ditangkap khalwat.
Meskipun kisah itu berlaku di seberang laut China Selatan, namun kehangatan isu tersebut amat dirasai setiap masyarakat terutamanya golongan wanita.
Di Sarawak kisah cinta tiga segi ini juga berlaku dalam pasangan yang sudah berumahtangga.
Namun, yang menjadi 'penyondol' bukannya si gadis bujang tetapi si lelaki hidung belang yang sanggup berselingkuh dengan isteri orang.
Walaupun, sudah berumahtangga lelaki hidung belang itu masih sanggup berhubungan dengan isteri orang.
Kisah ini didedahkan suami wanita terbabit selepas mengetahui isterinya berselingkuh dengan lelaki hidung belang yang berjawatan pegawai perubatan yang bertugas di sebuah daerah di negeri ini.
Malah, lelaki tersebut mengaku telah menjalinkan hubungan dengan isteri orang itu melalui panggilan telefon kepada suami wanita berkenaan.
"Masih berani telefon saya minta saya padam hantaran saya di Facebook. Sekarang baru rasa takut? Sedap tak main bini orang? Macam mana saya tahan dalam tiga bulan ini? Baru buat satu hantaran sudah kamu menangis.
"Saya tahan tiga bulan air mata pun mengalir sampai tidak ada, sampai mahu bunuh diri. Nasib saya fikir anak saya kalau tidak saya mungkin tidak ada dekat dunia ini," kata suami wanita tersebut.
Kisah yang dikongsi suami wanita itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata menggesa pegawai perubatan terbabit dipecat kerana memalukan penjawat awam.
Difahamkan lelaki hidung belang itu sebelum ini pernah berkhidmat di Betong dan juga "kantoi" berselingkuh dengan isteri orang sebelum dikenakan tatatertib dan dipindahkan ke Kapit.