Nampak pakai kerusi roda baru nak tolong, lelaki OKU kesal layanan stesen minyak di Green Road
KUCHING— Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) lumpuh kesal dengan layanan tidak mesra pelanggan oleh pekerja sebuah stesen minyak di Green Road di sini malam tadi.
Fadelize Givan,29, meluahkan perkara itu di Facebook selepas berhadapan situasi sukar membuat pembayaran di kaunter dan mengepam minyak selepas salah seorang pekerja menjawab dengan kasar ketika diminta berbuat demikian.
Berikutan itu, dia terpaksa bersusah payah mengeluarkan kerusi roda untuk membuat pembayaran di kaunter.
“Jika saya orang yang normal, saya tak minta pertolongan untuk pam minyak. Disebabkan saya seorang OKU berkerusi roda, sukar untuk kami membuat pembayaran di kaunter.
Menceritakan lanjut kejadian pada 9.50 malam tadi kepada Borneo Network, Fadelize berkata, ketika sampai di stesen tersebut dia ternampak dua pekerja sedang melakukan dipping.
“Selepas mereka selesai barulah saya memanggil salah seorang pekerja untuk meminta bantuan, namun dia menjawab dengan nada kasar memberitahu ‘takda staff lagi dekat sini’. Sedangkan waktu tersebut hanya kereta saya seorang di stesen tersebut.
“Melihat respon tidak sopan itu, saya terus mengeluarkan kerusi roda untuk membuat pembayaran di kaunter. Selepas melihat keadaan itu, pekeja tersebut menghampiri dan bertanya dengan nada kasar, “awak nak isi berapa?,” katanya.
Menurut Fadelize, walaupun selepas itu pihak stesen memohon maaf dan menawarkan bantuan, namun perkara itu sepatutnya dapat dielakkan dari awal sekiranya mereka prihatin dengan golongan yang kurang upaya.
Terdahulu, Fadelize memuat naik satu video di Facebooknya memaparkan dia terpaksa mengeluarkan kerusi roda ketika mahu mengisi minyak yang kemudian tular dan menarik perhatian warganet yang simpati dengan situasinya.
“Tujuan saya upload vdeo tersebut, supaya memberi kesedaran dan kepekaan staff terhadap pengguna seperti kami yang OKU.
“Sila berikan servis yang bagus terhadap pengguna sebab ada banyak lagi yang mengadu layanan tidak mesra pelanggan stesen tersebut . Diminta supaya pihak tersebut mengubah cara layanan terhadap pengguna. Sekian terima kasih.
“Saya minta maaf kepada pihak stesen jika menyusahkan urusan anda. Kami hanya OKU yang ingin berdikari tetapi disebabkan kemudahan menyukarkan pergerakan kami. Ini kali kedua saya dilayan seumpama ini di stesen yang sama.
“Ada banyak kereta yang menunggu di belakang untuk pam minyak, sebab itulah kami minta pertolongan. Bukan minta pertolongan sesuka hati. Tetapi ada sebab yang munasabah,” katanya.
Sementara itu, Fadelize mengalami lumpuh daripada pinggang ke bawah selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan langgar lari, lebih 10 tahun lalu.
Wakil stesen tersebut, dikenali sebagai Nur Shazreena menerusi hantaran di Facebook sudah memohon maaf kepada Fadelize berikutan layanan yang kurang memuaskan.
“Mungkin servis kamek orang perlahan sebab dua orang staff di luar tengah dalam proses dipping minyak sebagai prosedur sebelum tutup premis, tapi malam tadik staff di cashier ada keluar ulang alik datang ke kereta tuan untuk memberi bantuan kepada tuan.
“Tapi terima kasih juak atas teguran tuan supaya kami dan premis lain lebih peka dengan situasi orang kurang upaya pada masa akan datang. Sekali lagi, pihak kami memohon maaf,” katanya.