MUDA mahu isu kekurangan tong gas Petros diatasi segera
KUCHING-- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Sarawak mahu kerajaan negeri mengatasi segera isu kekurangan tong gas Petros di negeri ini.
Pengerusi, Parti MUDA Sarawak Jeffery Ngui berkata, ia adalah tanggungjawab kerajaan Sarawak dan Petros untuk mencari penyelesaian, memberikan solusi dan bukannya menyusahkan semua Rakyat Sarawak.
"MUDA Sarawak ingin menegaskan dan menyampaikan satu peringatan penting kepada kerajaan Sarawak berkaitan dengan kekurangan stok tong merah Petros di pasaran.
"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Sarawak untuk memberikan solusi dan tidak mengabaikan isu ini serta tidak membiarkannya diselubungi dengan alasan yang tidak munasabah.
"Jangan biarkan kekurangan stok tong merah Petros disapu ke bawah karpet," katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Jeffery rakyat Sarawak masih ingat janji kerajaan pada Disember tahun lepas bahawa stok adalah mencukupi dan penukaran tong kuning kepada merah (Petros) adalah percuma.
Jelasnya, Petros, sebagai pembekal sulung dalam pengedaran gas Wilayah Sarawak, nampaknya telah gagal dalam memenuhi permintaan tong merah di pasaran.
Tegasnya, kekurangan stok ini bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan atau disisihkan, tetapi merupakan isu yang perlukan solusi dengan kadar segera.
"Kami menggesa pihak berkuasa serta pihak yang berkaitan untuk mengambil langkah proaktif dalam menangani isu kekurangan stok tong merah Petros.
"Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan kestabilan bekalan serta untuk mengelakkan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul akibat kekurangan ini, khususnya sepanjang bulan Ramadan ini," ujarnya.
Menurutnya lagi, adalah tidak wajar juga dengan adanya parti-parti politik yang mengambil kesempatan dengan menggunakan Kempen Penukaran Tong Merah sebagai modal untuk mendapatkan sokongan komuniti di kawasan mereka.
"Persoalannya, dari mana datangnya stok tong merah sedangkan pasaran pun ketiadaan stok?
"Banyak penduduk di kalangan komuniti telah menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap kempen parti politik dan pusat khidmat yang mengedarkan tong gas merah secara tidak adil.
"Hanya tong merah yang kosong sahaja dibenarkan untuk penukaran, manakala tong kuning telah ditolak disebabkan stok yang tidak mencukupi" katanya.