Miri tersenarai dalam 9 destinasi alam semula jadi paling popular di Asia
KUALA LUMPUR— Platform pelancongan digital, Agoda menyenaraikan Miri antara destinasi pelancongan alam semula jadi yang paling digemari di Asia, berdasarkan data carian yang dibuat pada Januari 2024.
Naib Presiden Asia Tenggara Agoda, Enric Casals berkata, senarai itu berdasarkan data sempena pelancaran Eco Deal 2024, satu kerjasama antara Agoda dengan World Wide Fund for Nature (WWF).
“Miri merupakan pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.
“Taman Negara ini merupakan hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar dan mempunyai gua yang luas termasuk Sarawak Chamber, ruang gua terbesar di dunia.
“Para pelawat boleh menerokai pembentukan batu kapur, menawan puncak Gunung Mulu untuk melihat pemandangan yang menakjubkan, menyaksikan penghijrahan kelawar di Gua Rusa selain pengalaman trekking di hutan yang mencabar dan melalui sungai menaiki bot," katanya dipetik travelandtourworld.com pada Khamis.
Selain Miri, lapan lagi destinasi tersenarai iaitu Dalat, Vietnam; Khao Yai, Thailand; Hakone, Jepun; Ooty, India; Lombok, Indonesia;
Jeongseon-gun, Gangwon-do, Korea Selatan dan Hualien, Taiwan.
“Saya amat berbangga dan teruja dengan edisi ketiga Eco Deals ini, Agoda berjanji untuk menderma sehingga AS$1 juta kepada pelbagai projek pemuliharaan WWF di seluruh Asia Tenggara.
“The Eco Deals program membantu pengembara 'memberi kembali' untuk melindungi alam semula jadi buat generasi akan datang,” katanya.
Katanya, bagi setiap tempahan Eco Deals, AS$1 akan didermakan kepada projek-projek pemuliharaan WWF untuk melindungi hidupan liar dan memulihara habitat kritikal di Asia Tenggara.
Di samping itu, pelancong juga boleh menikmati diskaun sehingga 15%, katanya.