Menantu, mentua maut Myvi terjunam ke dalam laut
Lahad Datu— Dua lelaki maut selepas Perodua Myvi yang mereka naiki terjunam ke laut di Jalan Batu 7, Kampung Payang, di sini malam Sabtu.
Mayat mangsa dikenali sebagai Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66 ditemukan lemas oleh pasukan bomba dan penyelam yang terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 10.50 malam.
"Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam Syarikat Synergy Multi Resources Sdn Bhd.
“Selaman pertama berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada 12.06 tengah malam.
"Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta Myvi untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek bagi mencari mangsa kedua.
"Selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba dan mangsa kedua berjaya ditemui pada 1.31 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada 1.58 pagi.
Gambar PGO Sabah