Malaysia serius hapuskan pemerdagangan manusia: Mancha
KUCHING-- Malaysia berusaha keras untuk memenuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan pemerdagangan manusia.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, walaupun kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan pemerdagangan, ia berusaha keras untuk berbuat sedemikian.
"Kerajaan mencapai beberapa pencapaian penting semasa tempoh pelaporan dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap keupayaan antipemerdagangannya.
"Oleh itu, Malaysia dinaik taraf ke tahap 2 senarai pemerhatian.
"Pencapaian ini termasuk menjalankan lebih banyak penyiasatan pemerdagangan; mendakwa dan mensabitkan lebih ramai pemerdagang orang; serta mendakwa pegawai yang bersubahat," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Penguatkuasaan ATIPSOM (KBSJD) Zon Sabah dan Sarawak 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.
Malah, kata Mancha kerajaan turut mengenal pasti lebih ramai mangsa, memulakan usaha dan menyediakan pembiayaan bagi meningkatkan kesedaran terhadap pemerdagangan, dan meningkatkan latihan termasuk dalam penggunaan.
Tambahnya, pendekatan berpandukan trauma, pengenalpastian mangsa, dan pindaan pada undang-undang antipemerdagangan; untuk pegawai, pihak penguatkuasaan undang-undang, dan penyedia perkhidmatan mangsa.
"Kerajaan juga memudahkan kebebasan bergerak untuk mangsa yang menerima perkhidmatan di setiap kemudahan kerajaan dan membenarkan lebih ramai mangsa bekerja, selain meningkatkan dana bagi tempat perlindungan mangsa.
"Walaupun dengan pencapaian ini, kerajaan masih tidak memenuhi standard minimum dalam beberapa bidang utama," tegasnya.
Jelas beliau lagi, kerajaan tidak melaksanakan SOP secara sistematik di seluruh negara untuk mengenal pasti mangsa secara proaktif, termasuk mangsa buruh paksa, semasa serbuan penguatkuasaan undang-undang atau
dalam kalangan populasi rentan yang ditemui oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, disebabkan ketiadaan prosedur pengenalpastian yang rasmi, pihak berkuasa berkemungkinan menahan, menangkap, dan menghantar pulang sesetengah mangsa pemerdagangan yang tidak dikenal pasti.
"Penangguhan dalam pendakwaan, kekurangan penyelarasan antara perkhidmatan untuk mangsa yang tidak memadai menjadikan mangsa warga asing tawar hati untuk terus tinggal di malaysia dan terlibat dalam prosiding jenayah.
"Keadaan ini terus menghalang usaha penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan," ujarnya.
Namun begitu, beliau memberitahu kerajaan meningkatkan pelbagai usaha untuk penguatkuasaan undang-undang.
"Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang dipinda, menjadikan pemerdagangan buruh dan pemerdagangan seks sebagai jenayah dan menetapkan hukuman penjara 3 hingga 20 tahun dan denda, yang cukup berat dan berkenaan dengan pemerdagangan seks, setimpal dengan hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan serius lain, seperti rogol," jelasnya.
Pada masa sama beliau berkata, pegawai penguatkuasaan undang-undang terus menggabungkan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, yang menghalang keseluruhan penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan dan usaha mengenal pasti mangsa.
"Pindaan pada Akta Kerja 1955, yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, telah menambah peruntukan untuk menjadikan kesalahan buruh paksa oleh majikan yang
menggunakan ancaman ugutan, sekatan pergerakan atau penipuan untuk mendapatkan pekerja atau perkhidmatan merupakan satu jenayah.
"Undang-undang menetapkan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda rm100,000, atau kedua-duanya.
"Meskipun pindaan ini membuka ruang tambahan untuk mendakwa jenayah pemerdagangan buruh, penalti yang ditetapkan di bawah undang-undang ini jauh lebih ringan berbanding hukuman di bawah akta atipsom," ujarnya.
Justeru, tegas Mancha, Polis Diraja Malaysia (PDRM)akan terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pemerdagangan orang.
Ekoran itu, katanya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ mengambil inisiatif dengan menyiarkan pengumuman dan mengadakan sesi temu bual di medium media massa seperti rangkaian televisyen dan juga saluran radio nasional.