Lelaki hilang dibaham buaya dijumpai
TAWAU-- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Udin berjaya ditemukan hari ini pada jarak dua kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat Zulkefli Sunan, 52, dijumpai oleh pasukan penyelamat pada jam 1.31 petang tadi di hilir sungai daripada tempat mangsa dibaham.
"Mayat mangsa seterusnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya pada jam 9.06 pagi semalam di Kampung Sungai Udin, Tawau.
Menurut pengadu, mangsa dibaham buaya ketika sedang menyeberangi sungai menaiki rakit buluh dan sedang membawa buah kelapa sawit.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan di sekitar Sungai Udin menggunakan bot dengan anggaran radius 5 kilometer.
Berikutah penemuan itu, operasi telah ditamatkan pada jam 2.21 petang tadi.
Gambar ihsan Bomba Sabah