Lebih 73,000 liter air padam kebakaran tanah gambut, hutan di Sungai Adong

MIRI— Lebih 73,000 liter air telah digunakan dalam operasi memadam kebakaran tanah gambut dan hutan melalui udara di Sungai Adong hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Ismaidi Ismail berkata, operasi hari ini menggunakan helikopter bomba, Mi-17 milik dan dibantu pesawat Bombardier CL415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, operasi bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang menggunakan teknik pengeboman air ke kepala api.

“Mi-17 Bomba melakukan 27 pengeboman air bersamaan 43,200 liter air manakala Bombadier APMM melakukan lima kali pengeboman bersamaan 30 tan air.

“Teknik pengeboman ini ternyata berkesan dengan 80 peratus kebakaran berjaya disekat sepanjang operasi lima hari sehingga petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, teknik pengeboman dan gempur itu akan diteruskan keesokan hari dengan tumpuan di kawasan satu kepala api yang masih aktif.

Menurut Ismaidi, teknik Fire break menggunakan jengkaut berjaya membantu menyekat dan menghentikan pencemaran asap. 

“Anggaran keluasan kemusnahan akibat kebakaran setakat ini ialah 110 ekar dengan 20 peratus kebakaran masih aktif manakala 80 peratus berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, pasukan Bomba Lopeng, APMM dan Naim menggunakan pelbagai kaedah untuk memadamkan kebakaran di setiap sektor yang telah diagihkan.

Agensi lain yang turut terlibat antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya.

Sementara itu Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, operasi esok akan diteruskan dengan bantuan tentera.

“Saya difahamkan seramai 30 orang tentera turut membantu operasi ini. Selain itu NREB dan agensi penguatkuasa lain turut membuat rondaan dan pemantauan menggunakan dron.
 
Lee yang juga Menteri Pengangkutan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat khususnya APMM, Bomba yang bertungkus-lumus sepanjang operasi tersebut.
Next Post Previous Post