Lari apabila ternampak MPV polis, rupa-rupanya bawa kereta curi

BAU-- Tindakan sebuah kereta Myvi berpatah balik apabila terserempak kenderaan peronda (MPV) polis di Kampung Jagoi Pinomu di sini, rupa-rupanya kereta tersebut pernah dilaporkan hilang beberapa jam sebelumnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas, kereta Myvi terbabit yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun bersama seorang pemuda berusia 20 tahun itu dikesan sepasukan MPV IPD Bau sekitar jam 10.40 malam semalam semasa menjalankan rondaan cegah jenayah di kampung tersebut.

"Myvi tersebut dalam keadaan mencurigakan apabila berpatah balik apabila melihat kenderaan polis. 

"Berikutan itu, MPV IPD Bau telah mengekori kenderaan tersebut sehingga di Kampung Duyoh dan kenderaan tersebut telah terbabas sehingga terperangkap ke dalam parit," katanya.


Jelasnya lagi, polis berjaya menahan kenderaan tersebut yang dipandu oleh seorang wanita bersama seorang lelaki. 

"Setelah diperiksa, kenderaan tersebut merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang beberapa jam sebelum itu di daerah Kuching. 

"Kedua-dua suspek ditahan di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat kes untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Next Post Previous Post