Kemalangan berantai di Jalan Sri Aman babitkan empat kenderaan
SRI AMAN-- Tiga cedera dalam kemalangan berantai melibatkan empat kenderaan di Kilometer 64 Jalan Sri Aman berhampiran, kawasan Aping, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, dalam kemalangan sekitar jam 5.30 pagi itu, membabitkan sebuah kereta Waja, dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah lori.
"Punca awal kemalangan tersebut berlaku adalah disebabkan sebuah Toyota Hilux yang terbabas semasa menuju ke Kuching dari Sibu.
"Cuaca pada masa tersebut baik, gelap dan berkabus tebal. Setelah kemalangan pemandu telah menelefon adiknya yang berada di Sri Aman untuk membawa dia dan penumpang ke Hospital Sri Aman dengan meninggalkan kenderaan terbabit tanpa papan tanda serta pertunjuk kepada kenderaan yang menggunakan laluan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas itu, Mathew berkata, sebuah kereta Waja dipandu seorang guru lelaki bergerak dari rumah di Sri Aman menuju ke Sekolah Kebangsaan Sebuyau, Ensengei Simunjan menggunakan laluan kanan tiba-tiba telah melanggar Toyota Hilux terbabit yang ditinggalkan tanpa apa-apa tanda.
"Semasa pemandu lori Rigid Hino pula yang datang dari simpang Sri Aman menuju ke Kuching menggunakan lorong kiri tiba di KM 64 Jaln Sri Aman/Kuching kawasan Aping telah memperlahankan lori disebabkan ada satu kemalangan dihadapan.
"Ketika lori memperlahakan kenderaannya, tiba-tiba pemandu terdengar bunyi yang kuat dari arah belakang lorinya.
"Pemandu lori telah memberhentikan lori ke kiri jalan dan mendapati sebuah Toyota Hilux lain telah melanggar bahagian bumper belakang sebelah kiri lorinya," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, kemalangan itu tidak melibatkan kecederaan serius.
"Semua kenderaan dibawa ke Balai Polis IPD Sri Aman untuk tindakan selanjutnya.
"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.