Kapal tangki dengan muatan 300,000 liter diesel dirampas, 9 warga asing ditahan
SIBU-- Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak berjaya merampas kapal tangki dengan muatan 300,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan berjumlah RM17,260,000 pada Rabu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, rampasan itu dibuat sekitar jam 1.45 petang di kedudukan di perairan Tanjung Jerijih, Batang Rajang.
"Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, ACP Ab Rahman Mat Hasan telah mengesahkan Botronda RIB 4 PPM W5 Sibu, telah menahan dan memeriksa sebuah kapal tangki terbabit.
"Hasil pemeriksaan didapati kapal tangki tersebut membawa minyak diesel di bahagian tangki simpanan minyak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, anggaran keseluruhan minyak diesel lebih kurang 300,000 liter tanpa sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki / menyimpan / membawa barang kawalan tanpa permit / kebenaran khas dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pelepasan pelabuhan (Port Clearence) dari pihak Jabatan Kastam.
Selain rampasan, katanya, sembilan lelaki warga asing berumur di antara 21 tahun hingga 76 tahun juga ditahan.
"Semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDN Mukah, dan Pegawai Penyiasat Jabatan Kastam Tanjung Manis untuk siasatan selanjutnya," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.