Jambatan Batang Lupar sakit, sembuh 2026
SEBUYAU—Jambatan Batang Lupar 1 di sini yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ akan siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam pada 2026, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berkata, kontraktor penyelamat itu dijangka menyiapkan jalan baru satu laluan dua lorong sepanjang 5.7 kilometer bernilai RM107.5 juta yang menghubungkan jambatan itu menjelang November 2025.
“Sejak kontraktor baharu mengambil alih projek berkenaan, projek itu sudah mencapai lebih 50 peratus siap.
"Ada beberapa isu tetapi nampaknya ia telah diselesaikan sekarang untuk JKR (Jabatan Kerja Raya) dan kontraktor membuat analisis laluan kritikal bagi memastikan ia dapat disiapkan.
“Projek itu dijangka siap lebih awal beberapa bulan dari tarikh yang dicadangkan memandangkan kerja-kerja penyukatan tanah pembinaan jalan raya telah siap dan pihak pemaju telah mula menjalankan kerja-kerja pelaksaan jalan tersebut,” katanya selepas meninjau jalan persisiran pantai menuju ke Jambatan Batang Lupar, di sini pada Sabtu.
Pembinaan jambatan terpanjang merentangi sungai di negara ini dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memudahkan kehidupan penduduk tempatan.
Menurut Uggah, jalan menghubungkan Jambatan Batang Lupar 1 merupakan komponen yang sangat kritikal dalam projek itu.
Sebelum ini pihak kontraktor memaklumkan antara cabaran yang ditempuhi ialah kehadiran banyak buaya di sungai Batang Lupar sehingga menakutkan pekerja, sungguhpun tiada insiden tidak diingini berlaku.
Pada lawatan itu beliau turut melawat lebuhraya tunggal sepanjang 6.3 km yang menghubungkan Jalan Kampung Tanjung Bako dan Lebuhraya Kuching/Samarahan di Jalan Pantai Sarawak di Samarahan.
Uggah berkata projek jalan raya bernilai RM106.9 juta ini telah diserahkan kepada kontraktor baharu pada 8 Ogos tahun lepas.
“Ia 5.2 peratus siap, mendahului jadual semasa iaitu 4.55 peratus,” katanya sambil menambah projek itu dijangka siap pada awal Februari 2026.
Projek sakit lain turut dilawati ialah kerja menaik taraf Jalan Padawan (Fasa 1) sepanjang 14.9 km bermula dari Simpang Tapah ke Teng Bukap, Kota Padawan.
Uggah berkata kontraktor baharu mengambil alih projek ini baru-baru ini, 16 Feb tahun ini, dan mereka berharap kerja-kerja menaik taraf itu akan siap pada 15 Ogos 2026.