Jalan Sabah Sarawak berita gembira menjelang Aidilfitri
KUALA LUMPUR— Pembinaan Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah Fasa 2 (SSLR 2) yang menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Brunei dalam masa terdekat merupakan khabar gembira yang amat ditunggu-tunggu rakyat.
Apa tidaknya, penduduk di luar bandar dan pedalaman utara Sarawak Lawas yang mahu ke Miri perlu melalui lapan pos imigresen sempadan Malaysia - Brunei sebelum sampai ke destinasi.
Rakyat turut mengeluh kerana terpaksa membayar caj sebanyak BND3.00 atau RM10 seorang bagi setiap satu hala perjalanan selain perlu membuat passport yang tidak semua orang mampu.
Ketika ini penduduk terpaksa bergantung kepada jalan balak sebagai jalan alternatif ke Lawas atau Sabah tanpa melalui Brunei yang mengambil perjalanan lama bergantung keadaan cuaca.
Walaupun projek ini mengambil masa yang lama untuk direalisasikan, isu ini sentiasa dekat di hati kerajaan terutama pemimpin Sarawak.
Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi rakyat terutama di Limbang dan Lawas yang perlu melalui Brunei sejak hampir 61 tahun Sarawak merdeka.
Maka sebab itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Kerja Raya berkata, perkara ini kerap dibangkitkan di Parlimen sejak beberapa tahun lalu.
Usaha pemimpin baik di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Sarawak itu akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan meluluskan pembinaan SSLR.
“Projek SSLR ini adalah manifestasi usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan kawasan di Sarawak dan Sabah sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
“Ia bukti kerjasama erat kerajaan Pesekutuan dan kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Cadangan pelaksanaan projek SSLR 2 telah mendapat kelulusan secara prinsip berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022.
“Dengan pelaksanaan SSLR 2 ia akan menambahbaikkan jaringan jalan raya di Sarawak dan melengkapkan jaringan jalan raya ke Sabah.
Malah, katanya ia juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan, pemangkin pembangunan sosioekonomi dan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat bagi penduduk di Sarawak khususnya.
Beliau menambah, SSLR adalah antara usaha kerajaaan ke arah merapatkan jurang pembangunan dan memastikan tiada Keluarga Malaysia yang terpinggir.
“Kerajaan akan terus memberi penekanan dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri dengan mernambah baik infrastuktur dan ketersambungan kawasan kurang membangun agar lebih seimbang.
"Saya telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk membantu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Pada Selasa, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembinaan baru dan menaik taraf jalan sedia itu melibatkan jalan sedia ada itu akan bermula dalam masa terdekat.
Jajaran SSLR 2 sepanjang 322 kilometer ini bakal menghubungkan bandar Lawas - Limbang - Pekan Mulu tanpa melalui Brunei menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM7.2 bilion.
Katanya, ia selepas penyerahan surat pelantikan pengarah projek dan surat setuju terima bagi SSLR 2 kepada kontraktor utama di Kementerian Kerja Raya di ibu negara.
“Projek ini dilaksanakan melalui empat pakej dan dijangka mengambil masa selama tiga hingga lima tahun.
“Pembinaan jajaran ini amat penting dalam meluaskan jaringan jalan raya ke kawasan pedalaman di utara Sarawak seterusnya menjana ekonomi yang baharu menerusi eko-pelancongan,”katanya.
Beliau berkata, penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan penutupan pintu utama pelbagai negara termasuk negara bersempadan telah memberi 1001 pengajaran kepada Malaysia.
Penutupan pintu sempadan negara Brunei yang menyebabkan kawasan utara negeri Sarawak terputus hubungan dengan Kuching telah menyebabkan kesukaran yang bukan sedikit, apatah lagi apabila bantuan barangan keperluan penduduk di kawasan utara Sarawak terpaksa dihantar melalui negeri Sabah.
SSLR 2 ini merupakan kesinambungan SSLR 1, meliputi jalan raya tunggal dua lorong sejauh 77 kilometer dari persimpangan Lawas ke Long Lopeng yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 8 Jan 2026.
Sementara itu tinjauan di media sosial menyifatkan pembinaan SSLR 2 ini umpama mimpi yang menjadi kenyataan.
Netizen berpendapat, SSLR 2 bakal membuka lebih banyak peluang pembangunan dan ekonomi di kawasan yang bakal direntasi jajaran itu khususnya kawasan Limbang dan Lawas.
“Ia memudahkan kami rakyat di pedalaman dan luar bandar pergi ke Miri untuk memasarkan barangan seperti beras. Tidak payah menggunakan passport dan membayar caj keluar masuk serta menempuh perjalanan yang jauh.”
“Bagi penduduk di Lawas, senang untuk kami pergi ke Hospital Miri mendapatkan rawatan, tidak payah bergantung dengan hospital di Kota Kinabalu yang menelan kos tinggi,” kata mereka.
Gambar Kredit Datuk Mutang Tagal