Insiden minyak tumpah di Jalan Kulas "kantoikan" aktiviti seleweng diesel guna lori tanah
Pada awalnya, rata-rata netizen beranggapan minyak "hitam" yang tumpah dari lori tanah datang dari kebocoran enjin.
Namun, selepas diperiksa menemukan tangki yang sarat dengan muatan minyak diesel.
Perkara ini didedahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John menerusi Facebook rasmi JSPT Sarawak hari ini.
Katanya, polis menerima aduan daripada orang awam sekitar jam 4 petang tadi yang mengatakan ada lori yang membawa minyak diesel disyaki diseleweng, menyebabkan tumpahan minyak di Jalan Kulas.
"Pihak Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching bersama anggota Balai Polis Satok telah membuat pemantauan dan kawalan lalu lintas di lokasi tumpahan minyak berlaku.
"Tindakan saman telah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching terhadap pemandu lori tersebut.
"Sebanyak tiga saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan yang dilakukan," katanya.
Tambahnya, anggota Balai Polis Satok bagi menahan Lori tersebut bersama pemandu untuk tindakan selanjutnya oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak.