ILP Miri rekod kualiti udara tidak sihat
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di Ladang Sawit Woodman di Sungai Adong. Gambar ihsan Bomba |
MIRI— Miri mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat apabila mencecah bacaan 114 sejak pagi tadi.
Berdasarkan laporan sesawangJabatan Alam Sekitar pagi ini, IPU di Miri menunjukkan keadaan kualiti udara yang kurang baik dengan kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) mencecah tahap tidak sihat sekitar 11 pagi tadi.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, walaupun indeks tersebut turun kepada tahap sederhana selepas itu, namun masih hampir dengan tahap tidak sihat.
“Ini telah menimbulkan kekhuatiran dan kebimbangan daripada segelintir penduduk setempat.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua penduduk Miri terutama golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan penyakit pernafasan seperti asma agar mengurangkan pendedahan kepada situasi jerebu dan cuaca panas.
“Orang awam diingatkan meminum air secukupnya, mengurangkan penglibatan aktiviti fizikal di luar rumah dan jika perlu berada di luar rumah, dinasihatkan memakai penutup hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chiew turut memberitahu sebarang aktiviti pembakaran terbuka adalah tidak dibenarkan.
Beliau berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan agensi lain atas usaha mereka dalam memadamkan atau mencegah kebakaran hutan.
“Saya menyeru pihak berkuasa terus memantau keadaan dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan, sekiranya keadaan kemarau yang terus kekal berpanjangan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan komuniti kami,” katanya.