Bot karam di Baleh: Mangsa ketiga dijumpai, hanya tinggal Konstabel Iskandar belum ditemukan
KAPIT-- Seorang lagi mangsa bot karam di Batang Baleh dijumpai dan hanya tinggal seorang sahaja lagi mangsa yang belum ditemukan setakat hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa ketiga yang dijumpai adalah Amerson John Nain yang telah dikenal pasti oleh ahli keluarga manga sekitar jam 12 tengah hari tadi di Hospital Kapit.
Jelasnya, mangsa dijumpai di perairan Batang Lebaan pada semalam dan dibawa ke Hospital Kapit untuk proses pengecaman.
"Oleh itu, tinggal seorang lagi mangsa belum dijumpai iaitu Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim,27," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, dua mangsa telah dijumpai iaitu Sarjan Jonathan Lambet, 51, dan Jack Balan,45 tahun.
Pada Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di sungai berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang dikenal pasti sebagai Moses Ngui berjaya diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.