Bot Karam di Baleh: Dua sudah jumpa, dua masih hilang
KAPIT-- Dua daripada empat mangsa yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di Batang Baleh telah dijumpai lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba Kapit Timothy Barat berkata setakat jam 5:30 petang tadi, dua daripada empat mangsa telah dijumpai mati lemas.
"Mayat pertama dijumpai oleh orang awam di Kawasan Lanang Sibu pada sekitar pukul 11.00 pagi tadi.
"Mayat kedua pula ditemukan terapung di hadapan terminal bot express Kapit pada pukul sekitar 4.00 petang," katanya.
Jelasnya lagi, mayat pertama telahpun dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sibu dan identiti mangsa telah dikenal pasti sebagai Jack anak Balan,45 tahun.
"Identiti mangsa dikenalpasti oleh isteri mangsa, Lucy ak Bony.
“Mayat kedua pula dikenal pasti sebagai Sarjan Jonathan Lambet, 51 tahun yang dikenal pasti melalui pakaian seragam polis yang dipakainya semasa kejadian," dedahnya.
Sementara itu, memetik laporan RTM Sarawak, Isteri mangsa, Lucy Bony ketika ditemui pemberita memaklumkan dia mengecam mendiang suaminya melalui tatu harimau dan pedang yang ada di lengan sebelah kanan suaminya.
“Saya sudah nampak gambar dia di telefon bimbit polis di Kapit dan saya yakin itu adalah dia.
"Malahan, baju dia memang saya kenal, saya tidak ingat tulisan di baju itu tetapi logo baju itu saya kenal, rambut dan muka dia juga memang dia,” Katanya
Berkongsi kisah dia dan mendiang suaminya, kali terakhirnya bercakap dengan mendiang adalah sekitar pukul dua petang hari kejadian.
"Ketika itu suaminya ada memberitahu mengenai air pasang besar yang berlaku di kawasan tersebut," jelasnya.
Hari ini operasi SAR disertai 38 anggota yang terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Residen dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak.
Sementara itu, dua mangsa yang masih hilang adalah Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim,27, dan Emerson John Nain,47.
Pada Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di sungai berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang dikenal pasti sebagai Moses Ngui berjaya diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.