Bomba wanita cedera terkena renjatan elektrik ketika padam api
KOTA KINABALU— Hasrat seorang anggota bomba untuk memadam kebakaran tidak kesampaian apabila dia cedera terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Keliangau 2, Manggatal, di sini semalam.
Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Pegawai bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas itu dilaporkan stabil dan dipantau doktor kecemasan.
Komander operasi dari BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 10.05 pagi dan mengerahkan sepasukan anggota penyelamat le lokasi.
“Kebakaran melibatkan rumah dua tingkat dan sebuah bengkel persendirian.
“Turut terbakar tiga buah kenderaan iaitu pacuan empat roda Nissan Frontier dan Toyota Hilux yang terbakar sepenuhnya dan Perodua Kancil terbakar sebanyak 50 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dari tangki jentera FRT. Kebakaran berjaya dikawal pada 10.44 pagi dan operasi ditamatkan pada 12.48 tengah hari.
Operasi pemadaman turut dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu. Turut berada di lokasi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Gambar kredit Bomba Sabah