Bomba Papar terpaksa berbuka puasa di tepi jalan selepas padam kebakaran hutan
KOTA KINABALU-- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah setiap hari berdepan insiden kebakaran terbuka berikutan kealpaan masyarakat tentang risiko melakukan pembakaran terbuka ketika musim kemarau ini.
Malahan, disebabkan sikap itu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar terpaksa berbuka puasa di tepi jalan selepas mengerah keringat memadamkan kebakaran hutan di kawasan tersebut.
Baru-baru ini Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda mendedahkan pihaknya berjaya memadamkan kebakaran terbuka kawasan seluas 1,721.29 hektar dari Januari lepas hingga 15 Mac.
"Ketika ini berusaha memadamkan 62.56 hektar kawasan yang masih terbakar, dengan kebanyakannya di kawasan pantai barat Sabah," katanya.
Dalam tempoh itu juga katanya, bomba menerima 1,011 laporan kebakaran terbuka dengan kejadian tertinggi melibatkan kebakaran belukar dan lalang iaitu 580 kes diikuti kebakaran hutan (368 kes), kebakaran kebun dan ladang (59 kes) dan kebakaran tanah gambut (empat kes).
"Tuaran menjadi kawasan paling banyak laporan kebakaran terbuka dengan 220 kejadian diikuti Kota Belud (140), Kota Kinabalu (95), Lintas (82), Penampang (63) manakala Kimanis dan Kuala Penyu masing-masing 58 laporan.
"Justeru, JBPM Sabah menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika musim kemarau dan cuaca panas ini.
"Mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.